Sunday, January 11, 2015

Sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan (Malaysia) 2015M/ 1436H

Hi all! Sorry, this post will be in Malay as to commemorate on the celebration of Prophet Muhammad's birthday that was held in Putrajaya, Malaysia.

Sabtu, 12 Rabiulawal 1436H/ 3 Januari 2015M

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.

Salam Maulidur Rasul 1436H! Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w, dilafazkan bukan sahaja pada bulan ini sahaja, malah sepanjang masa, di mana sahaja kita berada.

Apa yang ingin saya nyatakan di sini mudah sahaja, selalunya saya menonton sambutan sebegini di TV, kadang-kala di TV3, dan selalunya ada siaran langsung penuh di saluran RTM TV1. Cuma kali ini, saya mencabar diri saya sendiri untuk terus menghadiri majlis penuh barakah ini.

Jadi, saya pun mulakan dengan "Bismillah", menaiki bas dari Singapura ke Kuala Lumpur, sebab cara itulah yang paling mudah untuk ke sana. Sepanjang perjalanan di dalam bas, mulut saya tak henti-henti berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. Jadi, di sinilah, saya singgah sebentar untuk solat!



Alhamdullilah, setelah penat bekerja pada hari Jumaat, 2 Januari 2015M, dan tak dapat solat, Allah memberikan petunjuk yang sangat saya hargai. Perjalanan bas, kalau dari Singapura, selalunya memakan masa selama hampir 5-6 jam, jadi setibanya di Kuala Lumpur, saya rehat sebentar, sebelum meneruskan perjalanan ke Putrajaya melalui Express Rail Link (ERL) KL Transit.

Setibanya di Putrajaya, saya menggalakkan anda semua untuk menaiki pengangkutan awam, bukannya apa, kalau nak naik teksi, takut tambangnya pula lebih! Saya pun menunggu perkhidmatan bas RapidKL U42.

Bas ini mula beroperasi pukul 0630 pagi, jadi saya tunggu hampir setengah jam. Tak mengapa, untuk tujuan yang mulia ini, pasti ada dugaan yang tersendiri. Alhamdullilah, jalan raya di Putrajaya memang lengang sama sekali, jauh berbeza kalau di pusat bandar Kuala Lumpur. Saya cuma mengambil masa selama 10-15 minit sahaja untuk sampai di Masjid Putra, Putrajaya, lokasi utama sambutan Maulidur Rasul ini.

Apabila menjejakkan kaki di bulatannya sahaja, Ya Allah! Sungguh menakjubkan.

Konti Radio Televisyen Malaysia (RTM), maknanya mestilah ada siaran langsung di TV1. Saya pun menjejakkan kaki ke masjid untuk menunaikan solat Subuh. Pertama kali saya ke sini, lain rasanya!







Kubah masjid yang begitu menyentuh kalbu!

 Pentas utama sambutan Maulidur Rasul!



Yang di sebelah sana itu, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, atau lebih dikenali sebagai masjid besi. Di situlah, mulanya perarakan yang diadakan pada jam 0745 pagi.

Apabila keluar balik semula, apa lagi, saya pun ambil kesempatan bergambar di luar masjid serta bergambar di luar bangunan rasmi Pejabat Perdana Menteri Malaysia.


Inilah jarak yang perlu dilalui oleh semua kontinjen yang mengambil bahagian dalam perarakan Maulidur Rasul ini. Jarak di antara Masjid Tuanku Mizan hingga ke Masjid Putra adalah sepanjang 1.7km. Dan apa lagi, saya pun menuju ke titik permulaan perarakan.










 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom memulakan perarakan bersama jemaah menteri yang lain, kemudian diikuti pula dengan konvoi motosikal, serta para kontinjen yang mengambil bahagian. Itu semua dilakukan di antara jam 0745 hingga 0845 pagi. Barulah, saya pun ikut serta berarak sambil berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w.















Suasana ini juga dapat saya rakam selama 15 saat.
Sekembalinya ke Masjid Putra, semua menanti kehadiran seseorang yang menjadi tetamu terhormat majlis barakah ini. Siapakah dia?


Inilah dia Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta keretanya di luar.

Setelah itu, saya pun tidak dapat duduk lama kerana ada urusan. Insya-Allah, jika diberikan kesempatan, akan saya kunjungi lagi untuk majlis penuh.

Yang boleh saya rumuskan di sini, suasananya amat berbeza sekali, jika dibandingkan dengan sambutan Maulidur Rasul di Singapura, kerana di sini, tidak boleh diadakan perarakan secara besar-besaran. Bila ada di Putrajaya ini, Ya Allah! syahdunya suasana perarakan yang amat terasa sekali di benak hati saya.

Sambutan Maulidur Rasul 1437H pula bakal diadakan pada hari Khamis, 24 Disember 2015M. Akhir tahun ini sahaja!

Sekian, wasalam!




























































No comments:

Post a Comment