Wednesday, January 21, 2015

Jalan-jalan cari makan di Nasi Bamboo Sg. Klah, Sungkai, Perak Darul Ridzwan, Malaysia

Hi all! This post will be in Malay.

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh!

Khamis, 15 Januari 2015M bersamaan 24 Rabiulawal 1436H

Ya Allah! Sesungguhnya tiada daya dan upaya melainkan semua urusan yang saya lakukan ini dengan izin-Mu.

Alhamdullilah, saya pun memulakan perjalanan saya dari rumah untuk terus ke 'apa yang orang selalu katakan tentang nasi yang sangat istimewa' ini. Bukannya apa, nasi sebegini jarang dan memang susah untuk dikomersilkan melainkan ada usaha untuk melakukannya.

Menaiki kapal terbang untuk ke Kuala Lumpur, dan kemudian melalui Express Rail Link (ERL) KLIA Ekspres untuk ke KL Sentral, setelah sampai di sana, menaiki pula tren KTM Komuter ke Tanjung Malim , Perak tapi transit di Rawang, perjalanan ini, mengambil masa yang boleh dikatakan agak lama juga. Tapi, kata orang, alah bisa tegal biasa.











Sejujurnya, inilah kali pertama saya sampai di negeri Perak Darul Ridzwan. Indah, kan, bandar raya Tanjong Malim. Setelah selama hampir 6 jam perjalanan dari rumah (Singapura) ke Tanjong Malim, saya pun bertanya arah untuk ke stesen bas di Tanjong Malim. Gambar-gambar yang terkait di atas ini adalah sekitar pemandangan berjalan kaki ke stesen bas. Untuk ke 'tempat ini', jika tiada kenderaan seperti yang saya lakukan ini, naik bas Maraliner atau Super City bas 167 ke Sungkai, Perak. Tambangnya cuma RM5 sahaja. Perjalanannya pula cuma mengambil masa sejam sahaja.

Untuk ke sini, gambar-gambar di bawah ini menunjukkan pemandangan di sekitar 'tempat ini'.




Inilah jalan masuk ke 'tempat ini'. Cuma kena berjalan sikit sahaja, nampak ini...


Dah pun sampai ke Nasi Bamboo Sg. Klah. Tempat ini sahajalah yang jual 'nasi buluh' secara komersil, tak ada dah di tempat lain, cuma di sini sahaja.

Saya terpaut apabila menonton siaran Majalah 3 terbitan TV3 pada tahun lepas. Jadi, setelah itu, saya pun rasa macam nak 'mengidam' pula nak makan nasi ini. Apabila sampai di sini, jam tangan saya pun menunjukkan pada pukul 2 ptg, setelah hampir tujuh jam perjalanan dari rumah (keluar rumah jam 7.30 pg).

Bagi para pemandu yang ingin ke sini, di sini saya lampirkan peta dan koordinatnya.
Nasi Bamboo

Ini pula koordinatnya : N3° 59.004 E101° 19.180


Kedai yang menampilkan 'nasi buluh' ini sudah mula beroperasi sejak Ogos 2012. Jadi dah pun ramai pelanggan yang datang ke sini, menikmati sendiri nasi ini. Serta dah ada pun ramai pengunjung dari luar negara yang datang ke sini. Jadi usaha sebegini memang terus disokong, dan alhamdullilah, Nasi Bamboo Sg. Klah ini juga boleh dipaut di Facebook.

Apa yang saya teruja, sebagai anak bandar, lauk-pauknya yang mengancam, tapi memang sedap. Terus-terang, saya tak pernah nampak 'jantung pisang'. Jadi, bila nampak buat kali pertama, benda tersebut, apa lagi, saya pun terus makanlah. Ada juga gulai keladi, ikan keli,dan juga ayam kampung. Gambar lima lauk yang ada di atas pun, harganya jauh lebih murah berbanding di bandar, cuma RM11 sahaja. Wow! 

Semasa saya berkunjung ke sini, ada 'keistimewaan' yang lain, selain dari nasi buluh. Yang ada di sini, 'nasi panggang', produk terbaru mereka. Jadi, nasi buluh yang saya tunjukkan serta nasi panggang satu set itu, mana cukup. Tambah lagi satu, baru rasa, dan memang berbaloilah. Saya cuma keluarkan RM20 sahaja untuk semua ini, termasuk air asam limau yang cuma berharga RM1.

Sekian, cuma setakat di sini sahaja entri saya. 

Wasalam.

Pengunjung dari Singapura.

PS. Kalau boleh, nak makan lagi dan lagi bila ada kesempatan lain.

No comments:

Post a Comment